Loading...
Terkini

Ibu, anak menyusu dan sahur


Alhamdulillah, beberapa jam lagi tetamu agung kita setiap tahun akan tiba. Ia merupakan hadiah istimewa dari Allah S.W.T buat semua umat Islam.
Setiap amalan dilipatgandakan pahala, semua pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, azab kubur diringankan, syaitan dirantai, doa dimakbulkan. Tidak cukup dengan itu, Allah kurniakan pula malam lailatulqadar, malam yang bersamaan dengan 83 tahun, beruntunglah bagi sesiapa yang menghidupkan Ramadan.
Saya teringat ketika waktu kali pertama menjadi ibu, pengalaman berpuasa dengan anak sulung yang baru berusia 3 bulan buat pertama kali sudah tentu merisaukan saya. Risau susu tidak cukup buat anak, risau tak mampu meneruskan puasa dan bermacam-macam lagi yang dirisaukan.
Walaupun ibu mengandung dan menyusu punyai ‘rukhsah’ untuk berbuka puasa, namun selagimana ia tidak memudaratkan, perlu juga ambil keazaman untuk berjuang di bulan jihad. Bagi melegakan kerisauan, saya cuba bertanya pengalaman ibu-ibu yang lain, banyakkan membaca dan juga mendengar tips-tips yang dikongsi buat ibu yang ingin berpuasa ketika menyusukan anak.
Antara perkara paling utama yang saya lakukan ialah, ketika waktu sahur, saya kejutkan juga anak kecil saya supaya dia dapat menyusu pada waktu tersebut. Ini tips yang saya dapat daripada ceramah Sheikh Wajdi Ghoneim. Kenapa waktu sahur istimewa? Sebab Rasulullah s.a.w telah bersabda:
تسحروا فإن في السحور بركة
“Bersahurlah, maka sesungguhnya pada waktu sahur itu ada keberkatan.”
Jadi para ibu yang menyusukan anak, boleh cuba tips ini. InshaAllah, susu yang diberi pada anak ketika waktu sahur juga berkat. Alhamdulillah, selama 2 tahun menyusukan anak belum pernah lagi berbuka kerana tidak larat berpuasa apabila mengamalkan tips ini, selain daripada mengamalkan tips berpuasa yang lain.
Namun begitu, sekiranya ibu yang berpuasa dan menyusukan anak perasan bayi tidak aktif, menangis tidak berhenti, warna air kencing bertukar oren/merah jambu, bayi kurang kencing, atau berat badannya turun seminggu setelah ibu berpuasa, lebih baik sekiranya ibu tidak meneruskan puasa kerana ditakuti memudaratkan anak.
Saya berdoa semoga Allah memberi kekuatan dan membantu kita melaksanakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan ini.
Sarah Amran
www.indahnyaislam.my


via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

About Admin

Loading...
Powered by Blogger.